Program Khatan Dirai Dengan Adat Melayu dan Aktiviti Keagamaan

HULU LANGAT 6 Dis. - Seramai 39 kanak-kanak yang tergolong daripada anak yatim dari sekitar Batu 13, Hulu Langat dan anak-anak kakitangan Hospital Pakar KPJ Kajang, menyertai Program Khatan di Pusat Aktiviti Belia Taman Titiwangsa di sini.

Program anjuran Sri Nilam dan Hospital Pakar KPJ Kajang Kelab Kebudayaan dan Kesukanan itu telah dirasmikan oleh YB Datuk Haji Johan bin Abd Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih. Majlis tersebut dimeriahkan dengan pelbagai tradisi adat melayu serta penuh dengan aktiviti keagamaan.

Program dimulakan dengan perarakan peserta khatan yang diiringi paluan kompang daripada JMKPC Hulu Langat. Majlis dilengkapkan lagi dengan program bacaan Al-Quran oleh pelajar Raudhoh Tahfidz Al-Quran .Bagi meredakan debaran anak-anak dan ibu bapa, mereka dihidangkan dengan alunan Nasyid dan Qasidah oleh kumpulan Mahabbah Al-Rasul dan Raudhoh Tahfidz Al-Quran .

Kemuncak majlis Khatan Perdana ini dimeriahkan dengan pancutan air oleh pasukan Jentera Bomba dan Penyelamat Kajang. Setiap kanak-kanak yang berkhatan diberi sijil perakuan dan sagu hati. Selain itu, pemeriksaan saringan kesihatan oleh Hospital Pakar KPJ Kajang juga disediakan.

Pengarah Eksekutif KPJ Kajang Specialist Hospital, En Roslan Ahmad berkata, program seumpama ini adalah salah satu aktiviti tanggungjawab sosial yang dilaksanakan setiap tahun khususnya untuk masyarakat daerah Hulu Langat.

“Aktiviti sebegini diharap mampu mendekatkan Hospital Pakar KPJ Kajang dengan masyarakat setempat sekali gus turut bersama-sama membantu individu yang kurang berkemampuan”.

Majlis ini turut mendapat sokongan oleh kumpulan Poliklinik Dr. Azhar dan Rakan-Rakan serta doktor-doktor sukarelawan.


Gembira…peserta-peserta dimandikan oleh pasukan jentera Bomba dan Penyelamat.



Teruja... 39 peserta Program Khatan.


Antara peserta berkhatan yang menerima sijil dan saguhati yang disampaikan oleh YB Datuk Haji Johan Abd Aziz, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semenyih bersama En Roslan Ahmad, Pengarah Eksekutif  KPJ Kajang.