SAMBUTAN HARI JURURAWAT SEDUNIA 2014


Lawatan Tanggungjawab Sosial ke Pusat Jagaan Al Fikrah oleh Hospital Pakar KPJ Kajang Sempena Hari Jururawat Sedunia 2014







        Hari Jururawat Sedunia yang setiap tahun disambut pada 12 Mei merupakan hari bagi menghargai sumbangan para jururawat terhadap masyarakat. Namun pada 24 Mei 2014, sebahagian warga kerja Hospital Pakar KPJ Kajang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya; Pn Noor Haslina Harun memilih untuk terus menabur bakti di Pusat Jagaan Al Fikrah bertempat di Sg Sekamat, Kajang, Selangor. Ia merupakan rumah kebajikan bagi golongan yang terdiri daripada pesakit kronik, terbiar tanpa waris, orang kelainan upaya, warga emas dan juga mualaf. Pusat jagaan yang ditubuhkan pada 15 Julai 2012 dengan kerjasama Persatuan Pegawai Kerja Sosial Perubatan Malaysia itu melindungi kira-kira 54 orang penghuni seawal usia 2 tahun hingga 104 tahun.

       Objektif lawatan bakti ini adalah untuk memberi khidmat masyarakat disamping menjalin hubungan dengan golongan yang memerlukan. Beberapa barangan keperluan seperti beras, telekung, kain pelikat, laci bertingkat dan sejumlah wang sumbangan telah dihulurkan kepada para penghuni pada hari tersebut. Dana sumbangan adalah hasil daripada jualan amal bazar makanan dan barangan oleh warga jururawat Hospital Pakar KPJ Kajang sempena sambutan Hari Jururawat Sedunia yang telah berlangsung di hospital tersebut sebanyak dua kali pada hari Sabtu dalam bulan April yang lalu.

       Di samping itu, Hospital Pakar KPJ Kajang turut berkesempatan mengadakan pemeriksaan kesihatan percuma seperti tekanan darah dan kadar gula darah ke atas penghuni pusat jagaan selain memberi tunjuk ajar senaman pasif fisioterapi, perawatan mandi harian, dan penjagaan yang betul pada hari tersebut. Sementara itu, penjagaan kebersihan tangan, penjagaan kaki, dan pencegahan daripada terjatuh pula telah diterangkan kepada penghuni dalam 3 sesi lawatan pada 3, 10 dan 17 Mei yang terdahulu.

       Lawatan ini berakhir pada jam 12:30 tengahhari apabila penghuni merakamkan ucapan jutaan terima kasih di atas kesudian berziarah ke pusat jagaan tersebut. Pengerusi pusat jagaan; Tn Haji Mohd Azmi Mohd Zain menyeru agar usaha-usaha sebegini dapat diteruskan oleh organisasi-organisasi yang lain seterusnya tanggungjawab social terhadap golongan ini tidak akan terhenti berikutan perlunya sumbangan berterusan untuk penyelenggaraan bangunan, keperluan perubatan dan barangan harian yang hamper mencecah RM42,600.00 sebulan.


Sekian laporan.
Lembaga Editorial